Sunday, October 17, 2010

7 Istilah Yang Anda Perlu Tahu Dalam Videografi Perkahwinan


1) Kamera digital dan analog
Pada ketika ini, kamera video analog amat kurang sekali digunakan. Ini kerana kamera video digital mampu menghasilkan gambar yang jauh lebih baik, harga yang mampu dimiliki dan memudahkan aliran kerja terutamanya untuk proses suntingan digital. Secara umumnya, penggunaan kamera digital membolehkan jurukamera menghasilkan video perkahwinan yang lebih berkualiti dengan kos yang lebih rendah.
 
2) Format video
Format video merujuk kepada jenis kamera dan jenis pita video. Terdapat berbagai jenis format video yang digunakan dan setiap satunya mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Format video yang paling popular yang digunakan untuk merakam gambar perkahwinan adalah format mini DV. Ianya tergolong dalam format digital. Pita mini DV ini bersaiz kecil ( lebih kecil dari kotak rokok ), tidak mahal dan mampu menghasilkan kualiti gambar yang baik. Lain-lain format digital yang ada digunakan adalah Digital 8, DVCAM, DVC Pro dan lain-lain lagi. 

3) ‘Master tape’
‘ Master tape’ bermaksud pita asal yang digunakan untuk merakam gambar video. Selepas rakaman selesai dibuat, pita ini akan disunting dahulu sebelum dijadikan VCD atau DVD untuk ditonton oleh pelanggan. Ini bermaksud, ‘master tape’ mengandungi imej video yang tidak disunting. Walaupun tidak disunting, kualiti gambarnya adalah lebih baik dari VCD atau DVD yang sebenarnya merupakan salinan dari pita asal.

4) Suntingan video
Suntingan video adalah merupakan satu proses dalam ‘post production’, iaitu satu proses yang terlibat selepas tamat sesuatu penggambaran. Biasanya, kerja yang terlibat dalam proses suntingan digital adalah seperti berikut:
a) ‘Digitizing’ – memindahkan imej video dari pita ke dalam cakera keras komputer.
b) Offline editing – memotong keluar babak video yang tidak menarik dan menyusun semula setiap babak video mengikut kesinambungannya.
c) Online editing – memasukkan tajuk video, muzik latarbelakang dan kesan khas.
Setelah suntingan siap dilakukan di dalam komputer, imej video ini akan dipindah keluar ke dalam bentuk VCD atau DVD.

5) Montaj video
Montaj video biasanya dimasukkan pada awal sesuatu persembahan video. Montaj video ini adalah ringkasan kepada keseluruhan video yang biasanya mengambil masa sekitar 5 minit. Berbagai teknik dan kesan khas yang menarik akan digunakan secara kreatif dalam montaj video ini.

6) VCD & DVD
Gambar video yang telah disunting biasanya akan dipindahkan ke dalam bentuk VCD atau DVD. Seperti yang anda sedia maklum, format DVD boleh menghasilkan gambar yang jauh lebih baik dari VCD. Pada ketika ini, video perkahwinan dihasilkan dalam format DVD secara meluas kerana kualitinya yang baik dan kosnya yang semakin murah.

7) ‘Multi Camera Production’
‘ Multi Camera Production’ adalah satu produksi video dimana lebih dari satu kamera video digunakan secara serentak dan kesemuanya dihubungkan kepada satu pusat kawalan. Imej terbaik dari salah satu kamera ini akan dipilih silih berganti. Ini menghasilkan gambar video terus menerus tanpa potongan dengan sudut rakaman yang berbeza. Biasanya, imej video dari kamera yang terpilih akan disiarkan terus ke skrin projektor. Khidmat ‘Multi Camera Production’ semakin popular sekarang terutamanya untuk majlis yang diadakan di hotel kerana ianya dapat menjadikan sesuatu majlis itu kelihatan lebih gemilang.


Oleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...